Khamis, Jun 20, 2013

MENOREH GETAH BIARPUN HUJAN UNTUK MENUNAIKAN UMRAH TETAPI ...



Itulah  permintaan  wakil sembilan individu masih menunggu wang bayaran balik kerana syarikat  pengelola   umrah  gagal  menzahirkan niat mereka untuk ke Mekah.  Sila baca petikan  daripada  majalah  Mingguan Wanita di bawah.


Saya bertemu mereka di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor. 


"Kami sembilan orang membayar tunai kepada ejen syarikat, Haji Samsu Awang. Pada mulanya, saya bertanya, bila kita hendak pergi? Dia kata 10 Mei. Jadi kami sempat menghadiri kursus bersama 700 orang di Hotel Armada, Petaling Jaya. Tarikh itu kemudian ditunda ke 25 Mei. Selepas itu Haji Samsu memaklumkan  tarikh  untuk ke tanah suci dipercepatkan ke 14 Mei. Kami membuat kenduri kesyukuran sebelum tarikh itu," jelas bekas  iman masjid,  Mohd Nawawi  Haron, 64 tahun.


"Pada masa itu saya sembelih kambing di Selama, Perak,  kenduri doa selamat, sembahyang hajat," celah Haji Johari Saad, 62 tahun.

Mereka kemudian dimaklumkan semua akan mendapat visa dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi.

"Saya kata, ini pelik, dia sepatutnya memberikan  visa dan tiket kapal terbang pergi balik, menggunakan pesawat syarikat apa. Saya berpengalaman mengerjakan umrah lima kali. Dari tengah malam 13 Mei sampai pukul 10 hari sepatutnya kami terbang ke Mekah, tiada berita daripada ejen. Semua beg telah disiapkan.  Menitis airmata saya mengenangkan, inilah kali pertama saya hendak membawa isteri saya untuk menunaikan umrah. Abang dan kakak saya pun pertama kali, begitu juga rakan baik saya,  Abu Nawas.  Sehingga hari ini, beg kami masih tidak dibuka. Kami kemudian diberitahu, tarikh  ditunda ke 13 Jun, mesti boleh pergi. Alasan diberi,  tidak dapat visa,"  tambah  Nawawi,  anak kelahiran Kelantan.


"Saya bertanya kepada  Haji Samsu,  syarikat manakah menguruskan  visa? Dia menjawab, saya tidak boleh beritahu,  nanti  syarikat pengelola marah. Rupanya, mereka cuba mendapatkan visa melalui syarikat  di Taman Putra,  Ampang, Selangor.  Pemilik syarikat kami temui berkata,  syarikat di Kota Damansara itu, masih berhutang  dengan syarikatnya. Pada satu malam sebelum 13 Jun,  kami pergi berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat  pengelola umrah di Kota Damansara. Saya  meminta dia bercakap dengan syarikat untuk menguruskan umrah itu menggunakan pembesar suara telefon, dia menangis dan terus berlari keluar dari  bilik," kata Johari.


Peserta kumpulan  mereka  berusia di antara 15 dan  67  tahun.


"Saya telah menghubungi Haji Samsu dan meminta dia membayar kembali wang saya seminggu  selepas 13 Jun.  Saya  berasa amat simpati dengan adik saya, Noryah  Sa'at  di Selama. Anak dia sembilan orang.  Lama dia bertungkus-lumus, menoreh getah biarpun hujan  mengumpulkan duit  RM12,000 untuk pergi umrah bersama suami dan anak mereka. Dari kampung  mereka tiga beranak  diiringi 10 buah kereta untuk menghantar mereka ke lapangan terbang. Apabila tidak jadi pergi, saya tawarkan kepada dia suami isteri untuk saya menampung perbelanjaan mereka ke Mekah pada masa lebih sesuai, dia kata duit abang saya tidak akan ambil, dia hendak berusaha sendiri, duit titik peluh dia,"  jelas peniaga, Johari.

Difahamkan,  wang  kira-kira 1500  orang  sepatutnya menunaikan umrah,  bernilai RM6 juta masih  tidak dipulangkan  kembali oleh syarikat pengelola umrah terbabit.


Mengapakah bekas 'Mafia'  Paya Jaras,  Abu Nawas  menitiskan airmata?  Kisah menyentuh hati ditempuhnya  akan  saya kongsikan kelak.


Saya, Johari dan  Nawawi  kemudian bergerak ke Segambut, Kuala Lumpur untuk bertemu Haji Samsu  dan mendapatkan penjelasan beliau.

Tunggu  kisah selanjutnya.

Apapun,  semua mangsa  kes  ini diminta  menghadiri  perjumpaan  anjuran sebuah badan bukan kerajaan  pada jam 9 pagi,  Sabtu,  22 Jun di No  37 Jalan PPH 2/12  Taman Pelangi 2, Semenyih,  Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.

Catat Ulasan